Monday, August 23, 2010

Jamu selera di 'awan' - By NURUL NADIA ABDUL HAMID


Haven janji lokasi makanan enak dan pemandangan indah

SESUAI dengan namanya, senja petang meliputi lembayung merah di celah kebiruan awan umpama terpampang sekeping lakaran potret alam buat pengunjung yang menikmati makanan di restoran ekslusif, Haven.

Terletak di arena Look Out Point, ianya 960 kaki daripada paras laut, Haven menanti pengunjung nun di atas puncak Pusat Pelancongan Menara Tinjau, Jalan Ampang, Hulu Langat. Cuaca dingin disulami pemandangan indah Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur menyapu pandangan pengunjung yang menikmati sajian di restoran berkenaan.

Pengurus restoran, Thelis Appanan, berkata suasana dan pemandangan di situ memang menarik dan sesuai dengan namanya, apatah pula menu yang disediakan di restoran berkenaan disediakan oleh jurumasak, Chef Idris Tapsin yang berpengalaman hampir 12 tahun.

“Chef kita Melayu dan mereka menyediakan pelbagai hidangan makanan menepati selera pengunjung, malahan menu yang ditawarkan boleh dinikmati pelbagai pengunjung seperti penduduk tempatan, Asia mahupun Barat,” katanya ketika ditemubual, baru-baru ini.

Terdapat 180 sajian yang menjadi tarikan pengunjung ke sini antaranya nasi beriyani kambing, chicken chop dan piza Hawaian Chicken yang nipis dan rangup. Sarat dengan aneka bahan seperti ayam, cendawan dan lada Benggala, anda mampu menghabiskan sekeping besar potongan piza berkenaan.

Bagi pengunjung dari Asia Barat, hidangan besar yang sinonim dengan Lubnan lebih menjadi pilihan. Hidangan seperti Faboule, Fatoush, Samose, Shawarma dan nasi beriyani kambing membuatkan kebanyakan warga Arab dan pemandu pelancong tidak putus-putus ke pusat yang sudah beroperasi selama dua tahun untuk merasai makanan Arab yang enak.
Buat pengunjung yang menyukai masakan tempatan, anda harus mencuba mi mamak, nasi goreng tomyam atau char kuey teow yang dihiasi udang segar dan hirisan sayur yang berwarna-warni. Soal harga bagi setiap makanan adalah berpatutan.
Mempunyai dua aras atau tingkat, anda boleh memilih tempat duduk yang disukai.
Begitu pun, selalunya tingkat bawah restoran ditempah untuk keraian besar-besaran oleh syarikat korporat seperti Digi dan Proton ketika kunjungan penulis.

Thelis berkata, mereka turut mengalu-alukan sebarang tempahan sempena sambutan hari lahir atau ulang tahun, namun seeloknya ia ditempah seminggu sebelumnya bagi mengelakkan sebarang masalah seperti pertindihan majlis dan lain-lain.

“Jika tempah seminggu sebelumnya, kita boleh bersedia dan menyediakan tempat khusus untuk sambutan parti. Restoran juga akan menyediakan sebiji kek percuma dan memasang lagu selamat hari lahir khusus buat pelanggan itu,” katanya.

Jadi, bagi anda yang ingin menyambut ulang tahun, apa kata beralih angin dengan meraikan majlis bersama teman dan keluarga tersayang di puncak pusat pelancongan berkenaan.

INFO:
Restoran Haven @Look Out Point


Lokasi: Pusat Pelancongan Menara Tinjau, Jalan Ampang, Hulu Langat

Cara Ke sana: Jika dari Kuala Lumpur, ia terletak hanya lapan kilometer selepas simpang ke Taman Sri Watan, manakala dari Cheras atau Kajang, anda boleh menggunakan Lebuhraya Cheras-Kajang. Gunakan susur keluar Pekan Batu 9 melalui persimpangan lampu isyarat pekan Batu 14 dan ia hanya tiga kilometer dari situ.

Telefon: 019-773 8965

No comments:

Post a Comment